Pages

Saturday, November 15, 2014

Sebentar di Lampu Isyarat

"Woi bangun!! Aku lapar ni, marilah kita ke kedai bawah flat. Sedang molek waktu ini Nasi Ekonomi sudah masak dan sedia untuk dinikmati." Kejut member aku kepada aku yang sedang lena tidur. Aku bangun dan segera bersila di atas tilam nipis. "Cadangan kau agak bagus, tapi bagi aku sedikit masa untuk menghabiskan mamai aku ya?" "Baiklah, segeralah bersiap. Aku tunggu kau diluar."Balas member aku yang sudah bersiap pakai baju seluar koyak dan berselipar jepun. Fesyen paling ampuh untuk ke kedai makan.

Aku menuju ke bilik air dan basuh muka runcit runcit. Basahkan kepala sikit dan tepuk tepuk muka tak kasi nampak baru bangun tidur. Lantas aku capai topi keledar kura kura dalam timbunan kasut. Celaka betul masuk rumah main campak kasut, ini boleh mendatangkan amarah yang paling marah. Topi keledar tadi aku cuci cuci sikit kasi hilang debu lantas aku pakai dan segera ke motor member aku yang sudah siap menunggu di luar pagar sambil hisap rokok. Sedap betul lihat kepulan asapnya bertalu talu ke udara lalu nafsu aku untuk menghisap rokok membuas. Aku tahankan keinginan untuk menghisap rokok memandangkan member aku nampaknya tergesa gesa untuk ke kedai makan. "Ah.. atas motor pun boleh hisap rokok.." getus hatiku. Lalu kami pun beredar dari kawasan perumahan menuju ke kedai bawah flat. Tengah hari itu panasnya lain macam. "Nak hujan petang ni agaknya." Bicaraku kepada member bagi mengisi kekosongan masa di atas motor. "Hmm.." Balasnya. Babi! Lapar sangat gayanya sampai nak bersembang pun rasa malas. 

Perjalanan ke kedai makan bawah flat agak jauh juga tapi memandangkan hanya disitu ada jual Nasi Ekonomi, jauh pun tidak mengapa asalkan kena dengan citarasa dompet aku. Sesampai di lampu isyarat, kami sebagai warga yang berdisiplin tinggi berhenti bila lampu isyarat bertukar warna merah. Sambil memerhati sepasang kekasih di dalam kereta berhawa dingin. Aku sekali lagi memecah keheningan tengah hari. "Kau agak agak hari ni makcik tu masak telur pedas ke telur rebus?" "Kalau telur masak pedas pun bagus juga. Aku pun dah lama tak pekena telur, asyik makan nasi lauk sos cili sahaja di rumah kita." Jawap member sambil tus air liur. "Iyalah, makan nasi lauk sos cili ni tidak bagus untuk masa depan pemuda cemerlang macam kita ni." Sambung aku sambil mata tidak lepas pandang pasangan kekasih dalam kereta berhawa dingin.

Lampu isyarat tengah hari itu bukan main dia punya lama, aku berasa masa ini adalah masa paling sesuai untuk aku hidupkan api rokok, lagipun sejak dari tadi lagi aku kesangapan. Lantas aku jatuhkan kaki ke atas jalan kasi lurus seluar dan seluk kocek belah kanan untuk keluarkan kotak rokok. Ah.. Mancis ada disebelah kocek kiri pula, lalu aku luruskan seluar sebelah kiri rapat ke atas jalan dan seluk mencari mancis. Bermakna secara tak langsung aku berpijak kedua belah kaki di bumi yang nyata. Sedang baik aku meraba kocek mencari mancis, lampu isyarat bertukar hijau menandakan kenderaan lorong aku boleh bergerak. Dan bagaikan ada setan yang merasuk member aku, dia dengan bergaya masuk gear 1 dan willy dengan bergaya. Tinggallah aku seorang diri terkangkang kangkang di atas jalan raya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...