Pages

Saturday, August 11, 2012

Memori Ramadhan 1998

Kebanyakan aktiviti siang hari di bulan puasa akan dilakukan pada malam hari memandangkan tenaga berlebihan selepas berbuka. Cuma beberapa aktiviti terpaksa dilakukan selepas raya kerana mandi lombong, mandi sungai, pancing ikan di kolam bela Pak Usop, lastik burung dan main kereta Tamiya dlm longkang sekolah agama tidak sesuai dilakukan pada malam hari. Aktiviti merayap dan panjat bukit dilakukan macam biasa dan ada tambahan aktiviti seperti main baling selipar, lawan sabut bakar dengan kampung sebelah, rembat jamuan moreh dan main Palong. Bagi kanak kanak kampung macam aku main Palong adalah perkara wajib di malam bulan puasa selain pergi letop rumah belakang Nuar Skinhead kes tuan rumah dulu pernah campak basikal Mat Arop bila Mat Arop berhenti kencing tepi semak rumah dia, dan acara letop rumah belakang rumah Nuar Skinhead dilakukan setiap ramadhan sehingga pagi Syawal.

Aktiviti main Palong dilakukan dalam hutan dan tersembunyi untuk memudahkan ahli ahli jemaah pemain Palong melarikan diri bila dikejar JKK surau kampung. Permainan Palong digeruni oleh mat mat belia kampung sebelah. Palong diperbuat dari ibu simen yang panjangnya lebih 6kaki dan ukur lilit sepemeluk besar cukup untuk mendiamkan mat mat belia kampung sebelah yang ajak lawan meriam buluh. Masa itu aktiviti rempit dan lepak disko memang tidak mendapat tempat di negara ini. Kalau ada pun sangat sedikit dan mudah untuk dibalun mat mat belia bila datang mat rempit buat kacau di kampung. Aktiviti berinternet juga sangat jarang didengari dan akan kelihatan riak jakun pada muka bila diceritakan perihal email Yahoo, Gmail dan Internet Explorer. Facebook masa itu entah kemana hala lagi, Mark Zukerbeg pun tengah sibuk main pasir depan rumah.

Zaman sekarang bila disebut Palong, Meriam Buluh, Panjut dan Hantu Malam akan berkerut dahi hingga menampakkan urat menunjukkan betapa mereka bekerja keras untuk memahami istilah istilah yang payah nak jumpa dalam dunia Google. Kalau ada pun hanya pernah dengar tapi tak pernah tengok ape kebende semua yang disebut di atas. Senang cerita kalau tak ada internet tak boleh hidup.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...